Thursday, September 24, 2015

Tips Mengatasi Rasa Malas Untuk Berblogging




Rasa malas adalah perkara biasa bagi setiap manusia. Percayalah..Tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang tidak pernah mempunyai rasa malas. Sama ada malas untuk konsisten sebagai seorang blogger seperti topik yang saya tuliskan atau sebagai sesiapa sahaja.

Malas Akan Hanya Merugikan Diri Anda. Bukan Orang Lain


Membiarkan rasa malas menguasai diri akan hanya merugikan diri anda. Bukan orang lain. Perkara ini yang harus ditanamkan bersama akar umbi dalam kotak fikiran. Rasa malas yang dibiarkan berlalu tanpa sebarang motivasi, tekad, dan usaha untuk mengatasinya adalah kerugian yang amat besar. 


Selama mana anda berada dalam keadaan malas, sebanyak itulah jumlah masa malas yang anda telah kumpulkan.  


Bayangkan 15 minit masa anda terperangkap dalam 'Penjara Malas' tanpa melakukan apa-apa usaha untuk keluar dari 'Penjara Malas' itu. Anda tidak berusaha langsung mencari 'kunci' untuk membuka pintu 'Penjara Malas' itu. 

Duduk sahaja tanpa sebarang motivasi, tekad dan usaha tidak akan berjaya membawa anda keluar ke mana-mana. Daripada 15 minit waktu yang dihabiskan mungkin akan menyeret sehingga berjam-jam lamanya.

Jangan biarkan diri terperangkap dalam perasaan malas begitu lama....

Beza Antara Blogger Yang Mempunyai Matlamat Dan Tanpa Matlamat - Matlamat Untuk Menjana Pendapatan Melalui Blog

Saya yakin setiap blogger mempunyai tujuan tersendiri dalam dunia blogging. Ada yang cuma menjadikan blog dan penulisan sebagai perkongsian semata-mata. Tidak lebih daripada itu. Mereka seronok berkongsi sebarang cerita yang diingini bersama rakan-rakan yang mengikuti mereka di blog.

Ada yang menjadikan blog sebagai platform untuk mencari lebih ramai rakan dan kenalan. Blog juga boleh menjadi platform media sosial untuk mencari kenalan selain daripada Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

Dua kategori blogger di atas mungkin mempunyai matlamat yang lain dalam usaha mereka menjana pendapatan. Masing-masing mencari jalan yang dirasakan terbaik untuk mencari rezeki. Aktiviti Blogging mungkin sekadar hobi sahaja. Setiap orang mempunyai hobi masing-masing ketika mempunyai masa yang terluang.

Tetapi ada satu kategori blogger yang mempunyai tujuan yang jelas dalam dunia Blogging. Ya, maksud saya menjana pendapatan melalui blog. Inilah blogger yang mempunyai Matlamat. Matlamat untuk menjana pendapatan.

Blogger yang jenis bermatlamat Menjana Pendapat inilah yang harus berhati-hati apabila masuk dalam 'Penjara Malas' .

Jika anda benar-benar ingin menjadikan Blog sebagai salah satu cara menjana pendapatan, kekalkan azam, tetapkan matlamat, lakukan secara konsisten setiap hari, cekalkan hati dan jangan biarkan diri terperangkap dalam 'Penjara Malas'. Cari kunci untuk segera keluar dari penjara tersebut.

Luangkan waktu dalam sehari untuk menulis dan berkongsi sekurang-kurangnya 1 artikel baru dengan pembaca anda.

Tidak semestinya membuat artikel baru. Boleh juga luangkan masa untuk membuat aktiviti lain berkaitan blog anda seperti membuat kajian artikel, membalas komen-komen pembaca di blog atau di laman sosial (kalau boleh sesegera yang mungkin), melakukan blogwalking dan sebagainya. 

Monitor blog anda sekerap yang boleh terutamanya jika blog anda memang mempunyai pengunjung yang ramai.

Blogger Yang Serius Tidak Akan Malas


Blogger yang baik terhadap pembaca setianya adalah blogger yang memberikan tindak balas yang cepat dan bersopan santun terhadap pembacanya. Hargai pembaca-pembaca setia blog anda. Layani dan santuni setiap soalan-soalan mereka di ruangan komen dalam blog atau media sosial. 

Jangan biarkan tegur sapa pembaca blog anda dibiarkan berhari-hari atau tanpa sebarang balasan. Jangan malas untuk berinteraksi dengan pembaca-pembaca anda. Hargai mereka di ruangan komen dengan memberikan 'reply' secepat yang boleh. 

Dengan cara ini, pembaca anda akan rasa dihargai oleh pemilik blog. Pembaca akan berasa seronok untuk terus setia terhadap penulisan-penulisan anda.

Jangan malas untuk melakukan kajian sebelum menulis sesuatu artikel. Tidak semua blogger mengetahui dan menguasai sesuatu isu dalam penulisan mereka. Bergantung kepada bahan apa yang hendak ditulis. 

Seandainya artikel yang hendak ditulis itu benar-benar memerlukan intipati yang pelbagai dan setepat yang boleh, sebaik-baiknya buat kajian sebelum menulis untuk mengumpul bahan-bahan apa yang hendak dimasukkan dalam penulisan supaya anda tidak terlepas point-point yang penting. 

Pembaca selalunya suka membaca artikel yang mempunyai isi kandungan yang pelbagai. Penuhi keinginan dan ‘nafsu’ pembaca dengan bahan bacaan yang paling membuatkan mereka rasa berbaloi untuk di baca (walaupun untuk penulisan yang panjang). Jangan menulis secara hentam keromo sahaja.

Bagaimana dan cara penulisan anda melambangkan sama ada anda blogger yang serius atau tidak. Sama ada percaya atau tidak, inilah sesuatu yang dapat memberi gambaran terhadap seseorang blogger. 

Jika anda benar-benar seorang blogger yang serius terhadap dunia blogging dan tidak malas, buatlah pos-pos penulisan yang benar-benar dari hati anda. Perkongsian sesuatu ilmu dalam bentuk penulisan seharusnya tidak disimpan atau disembunyikan atau ditulis separuh-separuh. 

Jika anda blogger yang baik dan benar-benar ingin berkongsi tentang sesuatu yang bermanfaat untuk pembaca, hasilkanlah satu penulisan yang orang akan berpuas hati membacanya.

Blogger Yang Tidak Malas Perlu Mempunyai Penetapan Masa (Timer)


Penetapan masa adalah penting untuk seseorang blogger yang rajin dan bermatlamat.


Tetapkan masa untuk sebarang rancangan dan aktiviti blog anda. Contohnya, jika anda merancang untuk menulis suatu artikel dalam masa 2-3 jam, pastikan anda dapat menulis dengan se-efektif yang mungkin dalam masa 3 jam ini. 

Bila anda telah menetapkan diri anda untuk penulisan dalam tempoh masa tertentu, sekurang-kurangnya anda akan lebih berdisiplin. Anda tidak akan ‘gatal’ tangan untuk menyemak Twitter, Facebook, Youtube dan sebagainya (kecuali berkaitan dengan blog anda). Sekurang-kurangnya, anda akan lebih berdisiplin dalam kerja yang dilakukan.

Bahagikan waktu-waktu tertentu untuk sebarang aktiviti yang melibatkan blog anda. Berapa lama masa yang anda akan habiskan untuk menulis? Berapa lama masa untuk ‘engaged’ dengan rakan-rakan blogger anda di blog mereka (blogwalking)? Berapa lama masa anda tetapkan untuk membalas setiap komen-komen pembaca anda? Berapa lama masa anda habiskan untuk kajian sebelum menulis? Berapa lama masa anda habiskan untuk kerja-kerja maintenance blog anda? Dan sebagainya…

Dengan Penetapan Masa (Timer), anda dapat mengelakkan menjadi blogger yang malas, lalai dan banyak bermain-main dengan perkara yang tidak penting. Konsentrasi blogger akan dapat diperbaiki dengan Penetapan Masa.


Jadi Blogger Yang Bekerja Dengan Cara Lebih Efektif & Profesional


Setiap blogger mempunyai cara kerjanya yang tersendiri. Penting untuk seseorang blogger yang serius dan tidak malas untuk monitor setiap aktiviti yang dilakukan.

Sebagai contoh mungkin anda mempunyai banyak artikel yang hendak ditulis dan dikongsi bersama pembaca setia. Namun , tidak semestinya dalam sehari anda mampu untuk menuliskannya.  

Katakan hari ini anda mempunyai 5 topik untuk dikongsikan. Anda telah menetapkan topik yang hendak ditulis. Tetapi kerana kekangan masa, hanya satu berjaya ditulis dan dikongsi di blog. Masih ada 4 lagi yang dalam ‘In Progress Status’ atau masih belum di tulis.


Untuk mengelakkan anda lupa akan topik-topik yang telah dirancang, bagaimana cara anda menyimpan segala jenis rujukan yang anda telah cari?



Seperti saya, saya menggunakan perisian Google Drive yang disediakan secara percuma oleh pihak Google kepada mereka yang memiliki akaun Google. Setiap akaun akan mendapat 15GB percuma ruangan disk. Di dalam Google Drive, anda boleh menulis artikel menggunakan Google Document, Google Sheet, Google Photos dan lain-lain. Bagi saya 15GB adalah cukup banyak untuk membolehkan anda membuat beberapa fail (folder) dan menulis untuk artikel anda. Kecuali jika anda memasukkan gambar (gambar termasuk di semua akaun Google yang anda telah upload), 15 GB itu akan berkurangan dengan cepat. Jadi, saya cadangkan untuk artikel dan gambar hiasan, cari sahaja gambar-gambar di Google Image supaya disk Google Drive anda dapat dijimatkan.


Baiklah sebagai contoh dari kerja-kerja monitor artikel yang saya telah rancang untuk masukkan dalam blog saya.



11.JPG


Saya cuma membuat jadual yang mudah sahaja. Mana - mana artikel dalam plan yang telah saya siapkan dan masukkan di blog, saya akan update ‘DONE’. Jika masih dalam perancangan, saya akan udate ‘HOLD DUE TO MAINTENANCE’.  Sebenarnya ada juga status ‘IN PROGRESS’ .


Jadual di atas adalah perancangan kecil saya untuk bulan September. Mana - mana artikel yang telah siap ditulis dan dimasukkan di blog, saya akan update ‘TARIKH SIAP’.


Selain contoh di atas, saya juga membuat folder atau fail yang saya perlukan. Contohnya Folder Untuk Rujukan Tip Blogging dan Tips DIY dari blog-blog lain supaya saya dapat mencari semula rujukan yang saya ingini.


Dengan cara ini, saya dapat monitor, sejauh mana efektifnya kerja-kerja saya dalam blogging.

Bagaimana Cara Anda Mengatasi Rasa Malas


Bagaimana dengan cara anda? Boleh kita kongsikan bersama di ruangan komen? Saya gembira untuk mendapatkan pertukaran idea dan fikiran dari pembaca. Mungkin cara anda lebih baik daripada saya dan boleh dikongsi supaya pembaikan kerja dapat dilakukan.


Bagaimana cara anda mengatasi rasa malas dalam blogging? Saya juga ingin ketahui pengalaman melalui perasaan malas itu dan bagaimana anda mengatasinya. Kongsikan bersama-sama saya diruangan komen dan saya akan reply secepat yang boleh semua komen-komen pembaca.




0 comments:

Copyright © 2016 Kembara Kembar | Designed With By Blogger Templates | Distributed By Gooyaabi Templates
Scroll To Top