Sunday, January 22, 2017

NEW

Intro Kembara Kembar 10 Hari 9 Malam Vietnam (Hanoi-Sapa) & Bajet Keseluruhan


Tempat duduk aku dan kembar masa penerbangan dari KLIA2 ke Hanoi berasingan. Dia duduk belakang dan aku duduk depan dia sebelah tingkap.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi pada pukul 8.15 pagi waktu tempatan. Waktu di Hanoi lewat satu jam waktu Malaysia. Penerbangan dari KL ke Hanoi mengambil masa 3 jam.

Perasaan masa sebelum nak landing tu tok sah kata. Memang excited. Bila dengan je suara pilot umumkan waktu ketibaan 8.15 pagi dan suhu Hanoi 19°C, dalam hati rasa tak sabar membayangkan jalan-jalan di Hanoi.

Bas Awam Ke Old Quarter, Hanoi

Sebaik saja keluar dari Balai Ketibaan, kami terus ke sebelah kiri pintu keluar untuk dapatkan bas ke Old Quarter, Hanoi. Ada beberapa bas awam dan shuttle bas dari lapangan terbang ke pusat bandar Hanoi. Kami naik bas nombor 86. Tambang bas cuma 30,000 / RM6. Kami tanya atendan bas untuk berhenti dekat Old Quarter. 

Jarak dari lapangan terbang ke pusat bandar Hanoi dalam 30 KM.

Stesen bas pertama yang akan dilalui ialah Long Bien. Masa ni, kami tak berhenti di Long Bien sebab kena jalan jauh untuk sampai ke Old Quarter. Atendan bas tu berhentikan kami di satu lagi stesen bas selepas Long Bien. Cuma aku tak tahu nama stesen bas tu. Ia lebih dekat untuk jalan kaki ke Old Quarter.

Dah turun dari bas, kami terus je jalan kaki menuju Old Quarter. 

Masa ni agak tegang sikit sebab terpaksa pikul begpack yang berat menapak mencari Little Hanoi Hostel. Hotel ni kami dah tempah awal masa di KL lagi. Sebenarnya hostel ini letaknya bersebelahan Tasik Hoan Kiem. Tapi, entah kenapa susah sangat nak cari walaupun dah berpandukan peta. Dah jumpa tasik, tak jumpa pulak hostel. Dekat tiga jam kami ronda still juga tak jumpa. Lastly, kami terpaksa check-in hotel lain sebab dah penat sangat pikul begpack yang berat. 

Nasib baiklah kami belum bayar apa-apa deposit untuk tempahan Little Hanoi Hostel tu. Kami cuma buat confirmation melalui email dan pihak hotel setuju untuk kami bayar upon arrival. 

Memandangkan hotel pun tak jumpa, Kami check in Lucky 3 Hotel. Harga semalaman ialah 25 USD, lebih kurang RM111. Hotel ni memang selesa dan serba baru. Cuma terletak agak jauh dari Tasik Hoan Kiem.

Muka bersedia nak keluar lepas berehat waktu tengah hari

Kami berehat dan tidur sekejap sebelum keluar semula pada pukul lima petang untuk jalan-jalan sekitar pusat bandar Hanoi. Sambil jalan-jalan dengan keadaan jalan raya yang penuh dengan kenderaan motosikal dan kereta, kami menapak jalan kaki mencari stesen keretapi Ga Ha Noi. Malam esok kami rancang untuk naik keretapi ke Lao Cai. So, kami MESTI dapatkan tiket keretapi hari itu juga. 

Jalan sekitar Hanoi ni memang betul sesak seperti yang aku baca kebanyakan cerita-cerita dalam blog traveler. Mula-mula memang rasa takut nak lintas jalan dengan begitu banyak motosikal dan kereta bersimpang siur. Tapi lama-lama bila dah biasa, makin berani dan yakin nak lintas jalan.

Jalan raya yang sentiasa sibuk dengan motosikal dan kereta

Caranya, kau kena lihat kiri kanan, teruskan langkah walaupun ada motor dan kereta, then move forward slowly. Tak perlu takut kena langgar sebab bikers akan mengelak engkau instead of kau yang mengelakkan diorang. Haha...kadang-kadang aku tengok mat salih pun takut-takut nak lintas.






Akhirya kami jumpa Ga Ha Noi, iaitu stesen keretapi untuk kami dapatkan tiket tren ke Lao Cai. Kami terus saja tanya staf Tourist Information kaunter untuk beli tiket. Harga keseluruhan berjumlah 95 USD (RM422) untuk koc katil (Sleeper Train) pergi dan balik untuk 2 orang, memang harga standard yang murah. 

Stesen tempat kami beli tiket keretapi 

Sebelum tinggalkan kaunter, semak betul-betul info perjalanan dalam salinan kertas yang diberikan. Salinan itu bukan tiket sebenar. Tiket sebenar akan diberikan selepas salinan itu ditukarkan di kaunter stesen mengikut GATE NUMBER yang penumpang akan berlepas. Yang paling penting kau kena tahu GATE NUMBER yang kau akan berlepas. 

Salinan bukti pembelian tiket keretapi ini perlu simpan untuk ditukarkan dengan tiket sebenar


Sebab apa penting? Sebab macam kes kami. Walaupun tiket keretapi dibeli di Stesen Ga Ha Noi (seperti dalam gambar atas), tapi GATE NUMBER 6 untuk train PUMPKIN bukan terletak di stesen seperti gambar di atas. 

Sebaliknya ada sebuah lagi Ga Ha Noi yang terletak di bahagian belakang. Agak susah nak mencarinya. Boleh tanya staf stesen keretapi kalau tak pasti. Kami pun dapat tahu tiga jam sebelum berlepas lokasi stesen GATE NUMBER 6 ni. Mati-mati kami ingat akan berlepas dari stesen tempat kami beli tiket keretapi ni.  

Stesen Ga Ha Noi yang menempatkan Gate No 6 untuk pelepasan keretapi Pumpkin Koc

Selesai mendapatkan tiket keretapi. Hati pun rasa lega. Perjalanan kami dijadualkan malam keesokannya pada pukul 9.30 malam.

Sebelum Naik Keretapi Ke Sapa


Baki hari pertama dan kedua sebelum perjalanan tren, kami berjalan sekitar Hanoi terutamanya di kawasan Tasik Hoan Kiem dan window shopping.

Terlalu banyak kedai barangan cenderamata dan pakaian dijual. Yang paling banyak ialah pelbagai jaket sukan, begpack, baju sejuk dan kasut. Memang rambang mata bagi yang berminat nak shopping. Nak kata murah tu, tak adelah murah sangat. Kalau rasa harga benda yang nak beli tu terlalu mahal, cubalah tawar menawar. Kebanyakan pekedai memang tak ada masalah kurangkan harga lebih murah.

Ada barang murah dan ada yang mahal. Yang penting sebelum beli, kena survey banyak kedai sebab ada perbezaan harga yang ketara antara peniaga untuk barang yang sama. 

Memandangkan kami akan ke Sapa yang bercuaca sejuk, aku juga tak ketinggalan untuk beli sehelai jaket murah berharga 150,000 VND (RM30). Itupun budak lelaki pekedai tu cakap dia bagi harga special untuk aku sebagai pelanggan pertama dia pagi tu. Nak cari tuah katanya..manis betul mulut peniaga lelaki tu..budak lagi tapi...hehehe.

Tak mahu ketinggalan bergambar tepi jalan

Penjaja kuih jalanan yang minta bergambar dengan kami. Lepas bergambar dia mintak beli kuih pulak. Memang tak beli lah sebab bimbang ada bahan tak halal.Hehehe..


Salah satu temple bersejarah Hanoi. Ada cerita misteri aku nak ceritakan. So, silakan baca sampai habis. Heheheh
Mak cik makcik mesti suka beli ni buat perhiasan rumah

Hari Kedua di Hanoi - Sebelum Naik Tren Ke Lao Cai

Awal-awal pagi aktiviti meniaga buah-buahan

Nak bergambar bawah pokok rendang dan misteri katanya

Cara popular orang Hanoi sarapan. Mi sup menu sarapan utama. Tak macam kita sarapan benda-benda manih dan berminyak. Itu pasal diorang kurus-kurus. 

Menara Kura-Kura (Turtle Tower) tengah tasik Hoan Kiem

Coffee Shop bersebelahan Tasik Hoan Keam

Waktu awal pagi ramai warga tua turun bersenam dan berborak sesama rakan

Salah satu menara yang buat kami tertanya-tanya sebab terdapat tulisan Cina 
Pagi-pagi buka booth lukisan tanpa atap untuk cari rezeki

Tengok Mat Salih tu duduk santai je pepagi tengok remaja Vietnamese beraktiviti. Aku syak dia tidur kat situ semalam. Hahah..
Ly Thai To adalah Maharaja Pertama Dinasti Ly yang hidup dari tahun 974 - 1028. 
Pintu masuk ke Ngoc Son Temple. Mula-mula masuk tak tahu pun ini temple. Nasib baik tak beli tiket masuk 
Lepas pintu ni, tahulah yang ini temple. Masuk sampai sini jer kemudian patah balik.

Jambatan menghubungkan temple dan luar pintu masuk

Misteri & Mistik Selepas Lawatan Ngoc Son Temple

Tak tahu sama ada betul tak apa yang aku nak cerita ni. Tapi ada perkara misteri sikit lepas kami balik dari temple ni. Masa nak tidur malam tu, aku dan kembar mimpi buruk dan menakutkan. 

Kembar aku cakap dia seolah-olah nampak ada budak perhatikan dia dengan renungan menakutkan dalam bilik hotel dan cuba peluk dia dengan keras. Aku pulak mimpi ada lelaki muka bengis berbaju merah pegang aku dengan kasar dalam keadaan marah. Dalam mimpi tu aku ulang-ulang jerit " Allahuakbar", barulah lelaki bengis tu lepaskan aku. Lepas tu aku terjaga dalam pukul 4.30 pagi camtu. Memang misteri sebab aku dan kembar mimpi pada waktu yang sama.

Inilah apa yang pengunjung mesti lalui sebelum jambatan merah. 

Sesiapa yang lemah semangat tu aku nasihatkan jangan masuk bermula dari pintu luar. Maklumlah...tempat-tempat penyembahan benda syirik ni macam-macam benda halus jahat yang kita tak nampak dengan mata kepala. 

Kalau kami tahu dekat hujung tu adalah sebuah temple, memang dari pintu luar takkan sesekali masuk. Itulah kelemahannya bila kau tak buat research dengan teliti sebelum travel. Main hentam je mane nak pergi inilah padahnya. Nasib baik 'semangat jahat' tu tak ikut kami sampai ke Malaysia tau!

Budak-budak mesti suka tengok gula-gula berderet jual tepi jalan 
Tugu yang merangsang semangat kepahlawanan Vietnamese
Masuk area sini kami dah mula rambang mata tengok jaket sukan dan winter. Jenama The North Face paling popular tapi bukan yang original. Made in Vietnam


Aktiviti keluar masuk kedai

Jalan lagi dekat lorong " Syurga Kasut"

Bermacam jenis kasut. Ada kasut sukan, selipar, sandal dan lain-lain
Staf TNB Vietnamese tengah repair wayar letrik yang berselirat

Nampak KFC macam berbunga-bunga je hati tapi sayangnya tak boleh nak makan. Kalau kat KL dah lama masuk. Heheheh..
Bunga kekwa dijual secara berbasikal. 

Tamat sudah ekplorasi singkat beberapa belas jam sekitar Old Quarter sebelum kami bersiap-siap untuk ke Stesen Keretapi Ga Ha Noi pada malamnya.

Kami keluar hotel pada pukul 6.00 petang dan bersedia lebih awal di GATE NUMBER 6 Ga Ha Noi. Nasib baik jugak kami turun awal. Kalau tak memang sah sah akan terlepas keretapi sebab menyangkakan yang kami akan berlepas dari Ga Ha Noi, tempat tiket keretapi dibeli. Dalam tempoh tiga jam sebelum berlepas tu, sempat jugak kami cari di mana lokasi stesen GATE NUMBER 6 terletak.


~ CATATAN PENUH KEMBARA KEMBAR : VIETNAM (HANOI - SAPA) 10 HARI 9 MALAM ~

(Intro) Kembara Kembar  : Vietnam (Hanoi-Sapa) 10 Hari 9 Malam Dan Bajet
➤ Episod 1 : Kembara Kembar : Vietnam (Hanoi-Sapa) Hari Kedua Yang Misteri & Mistik



Ep1 : Kembara Kembar Vietnam. Hari Kedua Yang Misteri & Mistik

Read More

Saturday, January 21, 2017



Untuk pengembaraan ke Vietnam pada 6 hingga 15 Januari 2016 yang lalu , aku dan kembar memilih Hanoi dan kawasan percutian tanah tinggi, Sapa sebagai destinasi utama. Sapa terletak di daerah Lao Cai iaitu kira-kira 288 KM dari Hanoi.


Cat Cat Village, Sapa


Kami tempah tiket promosi AirAsia sejak pertengahan bulan Oktober 2016. Harga tiket kapal terbang pergi dan balik dari KL ke Hanoi untuk dua orang, kosnya cuma RM495 sahaja. 

Masa rancang percutian ni, aku dan kembar masa tu masih berbelah bahagi sama ada nak tempah tiket ke Sapporo. Sebenarnya kami berkeinginan kuat ke Sapporo untuk bermain salji. Tapi memandangkan susahnya nak dapatkan tiket promosi AirAsia ke Sapporo, akhirnya kami tangguhkan niat untuk menikmati salji di Sapporo dan memilih untuk ke Hanoi.


Lagipun hati masa tu dah membuak-buak dan agak tertekan sebab sudah dua tahun lebih tak bercuti panjang. Hati pun setiap hari dah rabak gila bila turun dari rumah nak ke tempat kerja. Yelah, dua tahun lebih tak pernah ambil cuti panjang. Hati mesti rasa tak seronok beb. Tambah-tambah lagi orang bujang macam kami ni. Confirm akan rasa something yang tak kena dan kekosongan bila lama tak bercuti jalan-jalan.

Hanoi menjadi pilihan kedua kami juga kerana Hanoi dan daerah Lao Cai terletak bersempadan dengan Kunming dan Nanning iaitu salah satu daerah di China. Keadaan winter dan cuaca sejuk sedikit sebanyak mempengaruhi suhu di Hanoi dan terutamanya Sapa, yang sememangnya merupakan kawasan tanah tinggi di Vietnam.

Kalau nak tahu, dua tahun lepas dan beberapa tahun sebelumnya jugak pernah turun salji di Sapa. Boleh tengok imej Google Gambar Salji Di Sapa.

Kami fikirkan tahun ni kami cukup bertuah kalau dapat menikmati salji di Sapa. Tapi nampaknya takdir tak menyebelahi kami. Cuma berpeluang merasai kesejukannya yang menyamai musim sejuk Tokyo pada bulan Januari sahaja. Sobsob..sedih tau 😢

Bila dah nampak tiket promosi ke Hanoi yang murah dan berbaloi untuk percutian 10 hari, kami pun tak teragak-agak untuk tempah tiket penerbangan. 

Bajet Untuk Kembara 10 Hari Ke Vietnam 


Secara keseluruhan, bajet sekepala untuk kembara kami kali ini lebih kurang RM1000 seorang termasuk tiket Airasia (pergi-balik)

Nak kata kembara ni bajet sangat pun tak jugak. Nak kata mahal sangat pun tak jugak sebab ini kembara untuk 10 hari 9 malam. Pada kami, berpadan dan berbaloilah dengan bajet, masa percutian dan kepuasan yang kami rasai sepanjang 10 hari ini.

Bajet ini termasuk juga kos penginapan hotel, tiket keretapi, tiket masuk tempat tumpuan pelancong dan sedikit kos untuk barang makanan dan minuman.

Aku highligh beberapa kos penting yang pengaruhi bajet kembara Vietnam ni.


  • Tiket AirAsia (Return - 2 orang) = RM495
  • Tiket Keretapi 2 Orang (Pumpkin - Sleeper Train - Pergi Balik) = RM422 / 95 USD
  • Kos Hotel Keseluruhan ( 7 malam ) = RM565 / 127 USD
  • Tiket Ham Rong Mountain seorang (Sapa) = RM14 / 70,000 VND
  • Tiket Cat Cat Village (Sapa) = RM10 / 50,000 VND
_____________________
Total Sekepala : RM765 
_____________________

Memandangkan travel kali ini hanya travel semata-mata tanpa keinginan yang melampau terhadap shopping, kami berjaya gunakan sebaiknya bajet RM1000 seorang yang kami tukarkan kepada USD dan VND sehari sebelum bertolak. Kami tukarkan RM800 ke USD dan cuma RM200 ke VND.


Jiwa dah memberontak nak mengembara ke negara orang. Dengan jiwa yang damai dan dengan perasaan tidak sabar-sabar dalam hati, maka berangkatlah kami dengan penerbangan tambang murah Airasia, AK516 dari KLIA 2 pada 6 Januari 2016 (Jumaat) pada jam 6.15 pagi pada waktu Subuh.

Terima kasih kepada kakak dan abang ipar aku yang sudi hantarkan kami ke KLIA 2 pada malam Jumaat, pukul 12.30 tengah malam tu.

~ CATATAN PENUH KEMBARA KEMBAR : VIETNAM (HANOI - SAPA) 10 HARI 9 MALAM ~

 (Intro) Kembara Kembar  : Vietnam (Hanoi-Sapa) 10 Hari 9 Malam Dan Bajet
➤ Episod 1 : Kembara Kembar : Vietnam (Hanoi-Sapa) Hari Kedua Yang Misteri & Mistik




Kembara Kembar : Vietnam (Hanoi-Sapa) 10 Hari 9 Malam Dan Bajet

Read More

Sunday, October 30, 2016



Hari ke - 2 di Ranu Kumbolo

Semalam aku dan kembar tidur dalam keadaan kesejukan kerana suhu jatuh sehingga 13 darjah celcius. Mata tak berapa nak lelap sangat sebab kesejukan. Sesekali aku check alat termometer untuk pastikan perubahan suhu. Kami tidur dalam sleeping beg dan baju winter sekali.

Sebenarnya dalam hati aku berharap supaya suhu jatuh sehingga bawah 10 darjah celcius. Dari kajian sumber di internet, suhu pada bulan Ogos di Ranu Kumbolo adalah paling sejuk. Percaya atau tidak...Suhu di Ranu Kumbolo pada bulan Ogos boleh dan pernah turun sehingga negatif lima darjah celcius. Sehinggakan bila bangun pagi-pagi tu, Memang boleh tengok ada ais mengeras di khemah-khemah. Aku pernah baca satu blog dia ambil gambar termometer semasa di Ranu Kumbolo suhu yang menunjukkan kosong darjah celcius..Sejuk oooo...


Tapi sebab kami pergi bulan Mei, suhu tak jatuh sampai 10 darjah celcius. Kalau nak tengok gambar-gambar ais pada bulan Julai dan Ogos, Boleh search google imej 'es di ranu kumbolo'

Akan keluar beberapa gambar menarik


Pagi yang berkabus dan sejuk. 

Bangun Awal Pagi Untuk Aktiviti Riang

Kami bangun awal sebelum pukul 6.00 untuk basuh muka dan gosok gigi. Nak mandi rasa terlalu sejuk lagi.

Rancangan hari ini ialah kami nak bersarapan di Ranu Kumbolo sebelum matahari terbit dan berjalan-jalan di Oro-Oro Ombo yang terletak di sebalik keindahan gunung-gunung berlatar belakang kemegahan Semeru.

Hari ini juga kami akan mendaki dan pulang semula ke base camp, Ranu Pani. Kami target nak sampai sebelum pukul 6 petang di Ranu Pani.

Pagi yang berkabus tebal di Ranu Kumbolo

Semua bersiap-siap ambil air tasik untuk masak dan minum pagi

Khemah buruk kami yang paling low class di antara pendaki-pendaki hari ini. Hahah..
Macam-macam jenis khemah ada. Bentuk rumah pun ada. Semua bersiap untuk plan masing-masing

The Mirror of Lake Ranu Kumbolo

Yang geng empat orang khemah merah tu ialah geng Indonesia yang kami join. Mereka tengah bersiap juga untuk meneruskan pendakian ke Semeru.

Dalam pukul 7.00 pagi, matahari pun mula memunculkan diri. Kepanasan cahaya matahari perlahan-lahan membuka selimut kabus yang menyeliputi bumi Ranu Kumbolo dan danaunya yang indah.

Cahaya matahari perlahan-lahan memancarkan sinar di bukit-bukit

Separuh daripada bukit yang terkena cahaya matahari dan yang belum kena cahaya

Kami ambil air tasik untuk buat minuman panas 3 in 1. Sebelum tu, of course le kena rebus dulu air tu. Air tasik ini memang bersih. Macam air paip dekat rumah je. Putih bersih dan tak ada bau. Rasanya pun sebijik air paip dekat rumah. Memang air tasik tu bersih dan selamat untuk diminum. InsyaAllah...

Air yang kami masak ini kami simpan juga sebagai bekalan untuk perjalanan pulang ke Ranu Kumbolo.


Sementara tunggu air panas tadi menyejuk untuk diisi dalam bekas minuman sebagai bekalan, kami pun ambil peluang ini untuk mendaki laluan Tanjakan Cinta yang curamnya 30 darjah dan jalan-jalan di Oro-Oro Ombo.

Untuk sampai ke Oro-Oro Ombo, mesti lalui laluan Tanjakan Cinta dulu.

Penat juga nak mendaki Tanjakan Cinta ni. Laluan ini di namakan Tanjakan Cinta ada sebabnya. Tapi aku dah lupa sejarahnya.

Salah satu tanda nama mangsa yang terkorban dalam pendakian

Tanjakan Cinta!

Terus naik ke puncak Tanjakan Cinta. 

Budak hitam bergambar. Hahah..!

Sinematik pulak tengok gambar ni. Boleh buat penggambaran filem hindustan

Kabus dah hilang sepenuhnya. Keindahan tasik pun terserlah


Jauh jugak jarak Tanjakan Cinta ni. Aku dan kembar mendaki perlahan-lahan sambil mengambil gambar pemandangan. Matahari semakin cerah dan rasa sejuk pun semakin hilang. Di akhir laluan Tanjakan Cinta ini, kami berdiri di puncak yang memisahkan antara Danau Ranu Kumbolo dan Oro-Oro Ombo.

Bersedia untuk turun ke Oro-Oro Ombo! Dekat situ nanti boleh jerit sekuat hati sebab tak ada orang tau. Tak ada orang yang akan kisah kau nak jerit sekuat mana pun.

Rumput hijau kering dan bunga warna ungu boleh dilihat dari jauh. Indonesian hikers panggil itu bunga Lavender. Haha..lantak la bunga apa pun.

Gunung yang belakang dan togel itu ialah Semeru / Mahameru


Ini ialah asap beracun yang keluar dari gunung bersebelahan Semeru iaitu Kawah Jonggring Saloka

Asap beracun ni akan dimuntahkan pada setiap waktu pagi. 

Semua pendaki mesti tahu schedule asap ini dikeluarkan. Sebab itulah, bagi yang mendaki ke Semeru, mereka WAJIB sampai ke puncak sebelum matahari terbit dan tidak boleh berada lama di puncak Semeru.

Biasanya, pendaki akan berkhemah pada siang hari di Pos Kalimati atau Pos Arcopodo sebelum memulakan pendakian ke Semeru yang biasanya bermula pada pukul dua atau tiga pagi! 

Jarak antara Pos Kalimati dan Pos Arcopodo kira-kira 1 jam perjalanan. Dari Arcopodo ke Puncak Semeru perlukan masa antara 3-4 jam perjalanan dan pendakian. Jadi bagi yang plan mendaki ke Semeru, kena pandai bajet masa supaya anda tak terperangkap dengan asap beracun di puncak Semeru.

Pendaki WAJIB turun balik sebelum gunung Kawah Jonggring Saloka ini mengeluarkan asap beracunnya. Jadi pendek kata,  untuk berada di puncak cuma beberapa minit saja dibenarkan. Padahal keseluruhan masa perjalanan pendakian perlukan masa paling kurang tiga atau empat hari penuh!

Nak turun ke Oro-Oro Ombo

Seronok nampak budak hitam ni..

Dah sampai Oro-Oro Ombo





Duduk sekejap sebelum turun balik ke tapak perkehemahan

Bila dah puas menikmati pemandangan Oro-Oro Ombo, bertempik, berangan, bersorak, berkhayal, bermain dan macam-macam lagilah yang seronok di situ, kami pun balik ke khemah untuk packing barang-barang. Bersedia untuk pulang semula ke Ranu Pani.

Pendaki-pendaki lain, ada yang teruskan pendakian ke Semeru. Ada juga yang pulang ke Ranu Pani. Kalau ikutkan, ramai yang meneruskan pendakian ke Semeru.

Memang rasa malas. Rasa macam tak puas sebab cuma semalaman dapat bercamping di sini.  Rasa macam nak berkhemah lagi semalaman. Tapi waktu terbatas. Mungkin lain kali, kalau ada keinginan yang kuat, aku dan kembar akan kembali ke Ranu Kumbolo.

Dari puncak Tanjakan Cinta ni boleh lihat seluruh pemandangan tasik


Masa tengah bersiap menyimpan barang-barang ni, cahaya matahari dah semakin terik tapi kurang berpeluh.




Jam 10.00 pagi, kami pun mulakan perjalanan keluar dari Ranu Kumbolo. Haha...masa ni ada satu cerita. Sebenarnya masa kami bertolak tu, kami tak sempat lagi mandi. Kami pun singgah di hujung tasik untuk mandi dalam kawasan yang memang terbuka dan menjadi laluan para pendaki.

Waktu tu memang tak ada sesiapa yang lalu lalang. Rasa macam dunia ni macam kami yang punya.

Kami pun apa lagi. Bukak beg ok! Bukan bukak baju!

Kami mandi terus dengan pakaian yang kami pakai untuk hiking. Siap bersabun lagi. Sebab apa...

Sebab hari tu cuaca sangat cerah dan terang benderang je. Jadi, cuaca yang cerah dapat mempercepatkan proses pengeringan baju. Sebab tu kami tak risau hiking dalam keadaan baju basah sekalipun.

Kami juga sempat 'kosongkan' perut dengan cara menggali tanah dengan menggunakan pisau dan berlindung di sebalik bukit-bukit kecil. Hehehe..terpaksalah.

Survivor la katakan..haha. Sebab masa tu, kami fikir takkan nak patah balik ke tapak perkhemahan untuk mandi dan guna bilik membuang. Jadi, alang-alang dah tak ada orang, kami pun mandi dan buang apa yang patut termasuklah nasi semalam yang kami masak tak menjadi tu.

Nasi yang tak berjaya masak semalam, kami tabur macam tu je dalam semak memandangkan nasi bukanlah bahan sampah sarap yang mengotorkan. Nasi tu nanti akan bercampur dengan tanah juga kan. So, bolehlah kami buang.

Semua sampah sarap macam plastik dan botol kami bawak pulang sekali. Jaga alam sekitar tu penting ok. Jangan tahu nak nikmati pemandangan dan mengembara je. Mesti ada kesedaran sivik tentang kebersihan dan penjagaan alam sekitar.


Pemandangan terakhir kami di Ranu Kumbolo. Sedih oooo sebab terpaksa balik. Kalaulah boleh jadi penduduk tetap dekat sini

Secara rasmi, kami bertolak balik ke Ranu Pani pada pukul 10.30 pagi. Agak lewat sebenarnya. 

Tapi,alhamdulillah....cuaca pun dalam keadaan baik dan kami selamat sampai dalam pukul 5.00 petang.

Dekat curam ini yang aku dan kembar paling rasa mencabar sebab sangat steep dan tak ada dahan pokok nak berpegang. Hari ini bila turun rasa mudah sikit ler.



Kasut buruk seorang  first timer hiker

Tamat sudah kisah pendakian ke Ranu Kumbolo Kembara Kembar



Cerita 6 Mei 2014 : Hari Ke - 6 Kembara Indonesia. Selamat Pagi Ranu Kumbolo!

Read More

Copyright © 2016 Kembara Kembar | Designed With By Blogger Templates | Distributed By Gooyaabi Templates
Scroll To Top